Friday, November 11, 2011

Sekolah daif




PORT DICKSON: Keadaan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Sendayan, di sini, yang daif dan serba kekurangan menyebabkan muridnya berhimpit kerana berkongsi kelas dengan murid dari kelas lain.
Keadaan bertambah buruk kerana persekitaran sekolah itu sering dinaiki air setiap kali hujan berikutan sistem longkang yang tidak lancar.
Persekitaran yang tidak kondusif itu menyebabkan 66 murid serta tenaga pengajar dan kakitangan sekolah berkenaan sentiasa berharap ada tindakan daripada pihak berkuasa untuk mengatasi itu.
Tinjauan Metroplus mendapati keadaan bangunan sekolah itu sangat mendukacitakan dan daif dari segi kemudahan berikutan banyak kerosakan struktur bangunan pada tiang, siling dan dindingnya akibat dimakan anai-anai.
Akibat keadaan pagar yang berlubang, kawasan sekolah mudah diceroboh dan sering menjadi sasaran pencuri terutama pada waktu malam menyebabkan tiga komputer yang diderma sebuah syarikat swasta dicuri baru-baru ini.
Selain itu, warga sekolah terpaksa bertahan dengan masalah ketiadaan perkhidmatan air selama setengah bulan untuk setiap bulan dalam setahun dan tidak tahu bagaimana mahu mengatasi masalah terbabit.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, S Puvaneswary berkata, tiada sebarang peruntukan diterima pihak sekolah bagi memastikan murid selesa.
“Sekolah ini daif dan menyedihkan dengan keadaan kerusi dan meja yang rosak serta keadaan bilik yang begitu teruk. Kos membaik pulih memerlukan sumbangan orang awam kerana tidak mendapat peruntukan daripada mana-mana pihak.
“Sudah empat kali saya memohon bantuan daripada pihak bertanggungjawab, namun permohonan dipandang sunyi dan sehingga sekarang belum mendapat jawapan,” katanya.
Beliau turut tidak menolak alasan jumlah murid yang sedikit dan kawasan sekitar dianggap tidak membangun menyebabkan peruntukan tidak diterima sekolah terbabit walaupun diiktiraf sebagai sekolah kerajaan.
Bapa pelajar, N Santhi, 38, berkata dia menghantar dua anaknya ke sekolah terbabit kerana prestasi pelajaran mereka semakin meningkat berikutan diberi perhatian penuh oleh guru sekolah itu.
“Oleh kerana dalam kelas hanya mempunyai enam hingga ke lapan orang murid, guru memberikan perhatian sepenuhnya menyebabkan pelajar tidak ketinggalan dalam mata pelajaran.
“Kepadatan murid seramai 40 orang dalam satu kelas di kawasan perumahan saya iaitu Bandar Springhill menyebabkan anak saya ketinggalan dalam mata pelajarannya dulu, namun kini pelajaran anak saya semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, PIBG berharap supaya pihak bertanggungjawab membantu sekolah berkenaan mendapatkan prasarana bagi membaik pulih bangunan demi keselesaan pelajar kerana dengan kedaifan sekolah, pihak sekolah tetap berjaya menerima anugerah penghargaan dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berikutan subjek Matematik dan Bahasa Tamil mendapat kelulusan 100 peratus.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Abdul Halim Abdul Razak, berkata masalah berkaitan infrastruktur akan disemak pihak kementerian selain masalah berkaitan peruntukan tidak diterima pihak sekolah disiasat lebih lanjut.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang kerja baik pulih bangunan bergantung kepada peruntukan serta kewangan disediakan pihak kementerian.

No comments:

Post a Comment